KENINGAU: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggang terbabas sendiri di Kilometer 28 Jalan Sook/Tulid, berhampiran SMK Tulid, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa Idik Sakunil, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal yang berseorangan dari arah Kampung Batu Lunguyan menghala ke SMK Tulid.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian dipercayai secara tiba-tiba motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri.
“Mangsa mengalami parah dibahagian kepala dan disyaki meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Tulid untuk pemeriksaan dan seterusnya dihantar ke Hospital Keningau.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X