KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya akui, terdapat kelemahan dalam proses pelaksanaan urus tadbir Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan beberapa kontraktor yang dilantik.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kerja Raya memberi jaminan akan menambah baik kelemahan tersebut sekali gus dapat memastikan masalah bekalan air di negeri itu dapat diatasi.
“JANS sedang menjalankan program untuk mengurangkan Air Tidak Terhasil (NRW). Berkaitan dengan kutipan hasil, JANS akan mempertingkatkan jumlah tenaga kerja bagi tujuan membantu meningkatkan atau memperkemaskan tadbir urus JANS dan juga memungut hasil-hasil yang tertunggak.
“Saya sedar masalah air yang berlarutan sejak sekian lama adalah berpunca dari kelewatan pelaksanaan projek-projek yang telah dirancang seperti contoh Telibong 2 Fasa 2 yang sepatutnya dilaksanakan awal untuk permintaan 2022 tapi kita sekarang sudah memasuki tahun 2023 dan loji itu masih belum siap sepenuhnya.
“Saya sudah berbincang dengan beberapa orang yang berpengalaman lama di JANS di kementerian, kita akan mencari pendekatan untuk memperkemas sistem penghantaran dalam jabatan air,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu mengenai masalah air dan sekiranya berlaku ketirisan dalam pengurusan. – Info X