Search

Kaki sabung bertempiaran lari diserbu polis

May 28, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Sekumpulan kaki judi sabung ayam yang menjadikan kawasan hutan di Kampung Bunga Raya, Kepayan, di sini, sebagai tempat menyabung ayam bertempiaran lari sebaik lokasi itu diserbu polis, semalam.

Namun tujuh lelaki termasuk seorang warga asing dapat ditahan sepasukan polis pelbagai cawangan yang diketuai oleh Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Ismail Abdullah.

Ketika serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kumpulan berkenaan sedang bertarung.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, serbuan menerusi Op Dadu Khas itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti perjudian sabung ayam.

“Ketika serbuan dijalankan, polis turut merampas lima ekor ayam sabung serta wang tunai berjumlah RM1,500.

“Hasil siasatan mendapati lokasi berkenaan disyaki dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian dan aktiviti sabung ayam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiyaan Binatang 1952. – Info X