KOTA KINABALU: Sebuah treler yang membawa ‘blower’ tersangkut di bawah jejantas pejalan kaki sebelum terjatuh di atas jalan di Jalan Tun Razak, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.11 petang itu, sebuah kereta jenis Proton Saga mengalami kerosakan selepas terkena muatan yang terjatuh.Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu segera ke lokasi kemalangan bagi mengawal keadaan lalu lintas.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu treler dari arah Centre Point menuju ke Likas melalui Jalan Tun Razak.
“Setiba di lokasi kejadian berdekatan Jejantas Segama, muatan blower di atas treler yang sedang bergerak di lorong kiri tersangkut di bawah jejantas lalu terjatuh di atas jalan.

“Kejadian itu turut menyebabkan blower yang terjatuh terkena sebuah kereta Proton Saga yang ketika itu sedang menurunkan penumpang di perhentian bas sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, semua kenderaan yang terbabit kemalangan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
“Proton Saga mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan tepi sebelah kanan manakala treler tidak mengalami apa-apa kerosakan selain daripada muatannya yang jatuh di atas jalan raya,” katanya. – Info X