Search

Cifu pemain import terbaharu skuad Badak

June 6, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC mengikat bekas pemain import Kelantan FC, Miguel Cifuentes dalam usaha mereka memperkuatkan lagi pasukan bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super, musim ini.

Perkara berkenaan diumumkan Sabah FC menerusi laman Facebook mereka, malam ini.

“Perkenalkan ‘pemambahan terbaharu’ dalam skuad Badak, Miguel Ángel Garrido Cifuentes yang juga dikenali sebagai Cifu!

“Dilahirkan pada 5 Oktober 1990 di Zújar, Granada, Andalusia, Cifu merupakan pemain serba boleh yang pernah mewakili skuad belia Elche CF di Sepanyol.

“Beliau mempunyai skil yang hebat di bahagian sayap, pertahanan kanan dan bahagian tengah kepada pasukan kita (Sabah FC), mari kita alu-alukan kehadirannya dalam keluarga Sabah FC,” kata hantaran itu.

Selain Cifu, pemain import lain yang masih kekal bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu ialah Park Taesu, Gabriel Peres, Kwang Min Ko, Jailton Da Silva, Telmo Ferreira Castanheira, dan Saddil Ramdani.

Selepas 13 perlawanan, Sabah FC kini berada di kedudukan kelima Liga Super hasil daripada tujuh kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan. – Info X