KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris menegakkan cabaran Malaysia dalam penghakiman arbitrasi waris Sulu semalam membuktikan pendirian negeri bahawa tuntutan ke atas Sabah selama ini tiada merit sama sekali.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, rakyat Sabah memilih Malaysia untuk sama-sama membentuk Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus tidak mengiktiraf mana-mana tuntutan luar terhadap negeri ini.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan (Mahkamah Rayuan Paris) dan berharap kerajaan Malaysia akan mengambil semua tindakan yang sesuai bagi menamatkan sepenuhnya isu tuntutan itu.
“Sabah, melalui Peguam Besar Negeri akan terus memainkan peranan bersama Peguam Negara dalam menangani kes ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu yang sebelum itu diputuskan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa pada 2020.
Keputusan itu memberikan kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang, sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal dikemukakan Kumpulan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata melalui keputusan mahkamah itu, ia bermakna pihak yang menuntut tidak lagi boleh bergantung kepada keputusan salah yang dibuat di Perancis pada Februari 2022 atas apa-apa tujuan.
Azalina berkata, Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya.
“Ia adalah keputusan yang muktamad dan utama, kemenangan untuk Malaysia menegakkan undang-undang, yang menyebabkan kekalahan kepada pihak penuntut dan pembiaya mereka.
“Salah satu strategi kasar yang dilakukan penuntut menerusi ‘Partial Award’ itu adalah menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian kedutaan).
“Malaysia juga memerangi tindakan itu melalui dasar kekebalan diplomatik, justeru pihak penuntut ketika ini harus menarik balik tindakan, susulan keputusan hari ini, yang mana ‘Partial Award’ di Perancis itu tidak berkesan,” katanya. – Info X