Search

Palang landasan tidak berfungsi punca kereta dirempuh kereta api

June 15, 2023

Junaidi Ladjana

PAPAR: Palang landasan tidak berfungsi dipercayai menjadi punca kereta api merempuh sebuah kereta dalam kejadian di laluan Kilometer 21.5, Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut, di sini, semalam.

Kejadian jam 6.08 petang itu, bagaimanapun pemandu kereta Perodua Rusa lelaki berusia 42 tahun hanya cedera ringan dengan luka calar di kepala manakala tiga penumpang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati kereta api dari Stesen Sembulan menuju ke Beaufort dan sebaik tiba di lokasi kejadian didapati sebuah kereta Perodua Rusa masuk dan tiba-tiba berhenti di atas laluan kereta api.

Katanya, pemandu kereta api kemudian membunyikan hon isyarat ketika menghampiri gate dan cuba menekan brek namun gagal lalu melanggar kenderaan berkenaan.

“Pemandu kereta api dipercayai hanya menyedari kehadiran kereta dalam jarak 20 meter di hadapan menyebabkan perlanggaran itu tidak dapat dielakkan.

“Dalam kereta itu terdapat empat lelaki dan semuanya sempat keluar dari kenderaan sebelum perlanggaran berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika pemandu Perodua Rusa lalu di laluan kereta api itu, tiba-tiba enjin kenderaan mati menyebabkan kenderaan tidak dapat bergerak lalu dilanggar oleh kereta api.

Kenderaan Perodua Rusa terbabit mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran itu.

Katanya, pemandu Perodua Rusa mengatakan tidak menyedari akan ada kereta api yang lalu di kawasan berkenaan kerana palang landasan tidak turun dan menutup laluan berkenaan.

“Siasatan ditempat kejadian mendapati terdapat palang bagi menutup laluan jalan raya untuk kenderaan lalu di landasan kereta api berkenaan.

“Namun ia tidak dapat menutup palang landasan kereta api kerana kedua-dua palang tidak berfungsi,” katanya.

Kamaruddin berkata, siasatan masih diteruskan dan penjaga lintasan ditahan untuk diambil keterangan.

“Orang awam dinasihatkan melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kes ini.

Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Inspektor Wong Yew Zhung di talian 010-5635169.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 37 saat di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp memaparkan sebuah kereta Perodua Rusa dilanggar kereta api. – Info X