Search

T’way Air perkukuh hubungan antarabangsa Sabah, Korea

June 20, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Korea, T’way Air melakar satu kejayaan apabila melakukan penerbangan terus pertamanya daripada Incheon ke Kota Kinabalu, semalam.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pembukaan laluan penerbangan kepada T’way Air itu juga mengukuhkan lagi hubungan antarabangsa antara Sabah dengan negara Korea.

Katanya, penerbangan sulung itu membawa seramai 188 penumpang dan ia disifatkan mampu menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa ke negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, adalah penting untuk hubungan antarabangsa dipertingkatkan dalam usaha mengiktiraf nilai besar yang ada di Sabah kepada rantau ini.

“Memiliki lebih banyak penerbangan terus antarabangsa mewujudkan keseimbangan penting yang bukan sahaja memberi manfaat kepada industri pelancongan tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi di Sabah.

“Dengan meningkatkan kesalinghubungan antarabangsa, kita membuka pintu kepada lebih ramai pengunjung untuk merasai keajaiban alam semula jadi dan warisan budaya yang ditawarkan Sabah.

“Pada masa sama, ia membantu menjana peluang pekerjaan dan memacu pembangunan mampan secara serentak,” katanya selepas menyambut ketibaan penumpang bagi penerbangan pertama syarikat itu, di sini, semalam.

Joniston berkata, rakyat Korea Selatan secara konsisten menunjukkan minat yang mendalam untuk menerokai keindahan alam semula jadi di Sabah.

Katanya, ia terbukti menerusi kedudukan dominan pelancong dari negara itu sebagai pelawat antarabangsa terkemuka ke negeri ini.

Beliau berkata, STB merekodkan seramai 68,685 pengunjung Korea Selatan ke Sabah bagi tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding 720 ketibaan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurutnya lagi, penerbangan pertama laluan terus T’way Air dijangka mempercepatkan trend kedatangan pelancong Korea Selatan ke Sabah yang semakin meningkat sekali gus membina hubungan pelancongan yang lebih mendalam di antara kedua-dua destinasi.

Dalam pada itu jelasnya, lonjakan ketibaan pelancong Korea Selatan membuktikan peningkatan populariti Sabah sebagai destinasi pilihan.

Beliau berkata, ia turut didorong oleh keindahan dan keajaiban alam semula jadi, warisan budaya serta layanan yang terkenal oleh masyarakat Sabah.

“Pulau, pantai dan padang golf di Sabah antara yang popular dalam kalangan pelancong Korea Selatan dan mereka juga berminat dengan aktiviti menyelam serta melihat spesis burung.

“STB merancang secara strategik dua acara penting iaitu Ekspo Menyelam Asia (ADEX) dan Festival Burung Asia yang bertujuan menarik peserta antarabangsa termasuk dari Korea Selatan.

“Komitmen Sabah untuk menganjurkan acara ini menunjukkan kesungguhan serta dedikasi untuk menjadi destinasi utama bagi peminat alam semula jadi dan pengembara,” jelasnya.

Syarikat T’way Air yang dulunya dikenali sebagai Hansung Airlines, menjalani penyusunan dan penjenamaan semula pada 2010.

Sehingga 2019, ia adalah syarikat penerbangan tambang rendah ketiga terbesar Korea Selatan di pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Pengurus Wilayah T’way Air Stesen Kota Kinabalu Kim Minkeun berkata, Sabah sudah lama terkenal dengan keajaiban alam semula jadi yang indah, selain memiliki warisan budaya dan layanan yang mesra.

“Kami berhasrat untuk membawa pengembara lebih dekat dengan keajaiban Sabah dan mencipta kenangan yang akan kekal seumur hidup,” katanya.

Pada masa ini, Sabah dihubungkan dengan 10 bandar antarabangsa iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan, Taipei, Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Wuhan, Incheon, Busan, dan Manila.

Selain penerbangan T’way Air, Sabah dijangka menerima lebih banyak penerbangan terus dalam beberapa bulan akan datang antaranya Shanghai Airlines yang dijadualkan memulakan semula penerbangan terus harian ke Sabah pada 12 Julai ini.

Selain itu, syarikat penerbangan AirAsia juga merancang untuk memulakan laluan dari Beijing ke Kota Kinabalu (setiap hari) pada 2 Julai dan dari Macau ke Kota Kinabalu (empat kali seminggu) pada 16 Julai. – Info X