TAWAU: Polis Tawau menggempur beberapa kawasan di daerah ini yang disyaki menjadi sarang penagihan dan pengedaran dadah dalam Op Sarang Bersepadu, kelmarin.
Operasi yang bermula 8 pagi itu, polis menahan seramai lapan individu atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah dan merampas 5.12 gram dadah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi ini berdasarkan risikan dan maklumat awam di kawasan sarang penagihan dan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.
“Hasil daripada operasi itu, polis menahan lapan individu berusia 20 hingga 60 tahun kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Dalam operasi itu juga, polis turut menahan 13 individu termasuk lima daripadanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah di kawasan Kampung Vietnam dan Kampung Pukat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Operasi berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama daripada sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Turut terbabit pegawai dan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM),” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata, operasi berkenaan dijalankan untuk mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan berkenaan.
Katanya, operasi ini akan diteruskan dan diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa demi kesejahteraan penduduk di daerah ini. – Info X