Search

11 penagih dadah ditahan dalam Op Sarang Bersepadu di Tawau

June 22, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seramai 11 penagih dadah menerusi Op Sarang Bersepadu di Kampung Titingan, di sini, awal pagi semalam.

Operasi bermula kira-kira 4 pagi itu, turut merampas 0.22 gram dadah jenis syabu yang dirampas daripada dua suspek yang ditahan.

Timbalan Ketua Polis Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, dalam operasi itu, seramai 39 lelaki dan enam wanita diperiksa membabitkan pemeriksaan rumah serta kedai di kampung berkenaan.

Penagih dadah yang ditahan dalam Op Sarang Bersepadu di Kampung Titingan, Tawau. – Foto/PDRM

“Hasil operasi itu menahan seramai 11 individu berusia 20 hingga 60 tahun. Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi itu menyasarkan penagih serta pengedar dadah dipercayai aktif di lokasi-lokasi panas dan yang sudah dikenalpasti.

“Kerjasama masyarakat sangat diperlukan bagi membolehkan polis membanteras aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah di daerah ini.

“Pelaksanaan operasi ini diharap dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap kehadiran penagih dan penjenayah di kawasan setempat,” katanya.

Terdahulu, operasi itu disertai seramai 65 pegawai dan anggota pelbagai cawangan IPD Tawau termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA). – Info X