LABUAN: Perbadanan Labuan (LC), hari ini, mengumumkan pelantikan bekas Menteri Luar, Senator Tan Sri Anifah Aman sebagai pengerusi perbadanan itu yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 19 Jun 2023.
Dalam satu kenyataan, LC berkata, pelantikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu susulan kekosongan jawatan berkenaan sejak pertengahan tahun lepas.
Katanya, selain Anifah, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan merangkap Setiausaha PKR Sabah Simsudin Sidek turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi perbadanan itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar mengekalkan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah LC sehingga 6 Okt 2025 manakala ahli perniagaan Datuk Seri Liew Shan Wen juga dilantik seorang daripada ahli lembaga LC.
Timbalan Ketua UMNO Labuan Datuk Bashir Alias pula dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat LC dan Ketua Wanita UMNO Labuan Niswati Tarji seorang daripada ahli majlis itu.
Baki empat jawatan ahli majlis itu masih belum diumumkan.
Jawatan timbalan pengerusi majlis telah dibatalkan bagi penggal 2023-2025 ini. – Info X