Search

Komander ESSCOM mahu operasi pemantauan laluan KFR diperhebatkan

June 28, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Polis, Victor Sanjos mahu operasi pemantauan dan rondaan diperhebatkan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), khasnya di kawasan yang disyaki menjadi laluan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR).

Victor berkata, gerakan bersepadu itu akan membabitkan rondaan udara menggunakan pesawat pejuang dan beberapa buah helikopter yang ditempatkan di kawasan ESSZONE.

Katanya, operasi pemantauan yang ditingkatkan itu bertujuan untuk mengekang dan menyekat anggota kumpulan KFR yang terdiri daripada kumpulan Abu Sayyaf untuk menyelinap masuk ke perairan negeri ini.

Victor mempengerusikan mesyuarat pertama selepas dilantik menjadi Komander ESSCOM. – Foto/ESSCOM

“Semasa saya dilantik menjadi Komander ESSCOM, saya mahu melihat masyarakat ESSZONE khususnya pelancong asing yang datang ke pantai timur ini merasa yakin dengan tahap keselamatan mereka semasa berada di sini.

“Sebab itu, keberadaan dan “show of present” pasukan keselamatan di kawasan-kawasan hotspot termasuk yang disyaki menjadi laluan KFR adalah perlu bagi memberikan kawalan keselamatan dan perlindungan kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pertama ESSCOM sejurus selepas beliau dilantik menjadi Komander ESSCOM yang ke-7, semalam.

Turut hadir Brig Jen Johari Ismail Timbalan Komander, Ketua Staf Operasi Darat, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk M Chandrasehkaran, Ketua Staf Operasi Laut (M) Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, Ketua Staf Siasatan Khas dan Teknikal SAC Pajeri Mohd Ali dan beberapa pegawai kanan yang lain.

Beliau berkata, meskipun keadaan keselamatan di kawasan ESSZONE adalah terkawal daripada sebarang ancaman, kesiapsiagaan dan keberadaan pasukan keselamatan di lokasi-lokasi strategik dan menjadi tumpuan orang ramai khasnya pelancong asing adalah penting.

“Keadaan ini bagi memelihara ketenteraman dan kedaulatan wilayah daripada anasir-anasir luar yang cuba untuk mengganggu gugat kestabilan dan keselamatan di ESSZONE.

“Sebab itu, pasukan keselamatan ESSCOM akan sentiasa bersiap sedia mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Victor berkata, walaupun pasukan keselamataan ESSCOM berjaya menyekat kejadian penculik di perairan ESSZONE beberapa tahun kebelakang ini, namun beberapa negara luar termasuk negara jepun dan korea mungkin masih wujud kebimbangan dan persepsi terhadap keselamatan di pantai timur Sabah dengan tidak membenarkan rakyat mereka untuk memasuki beberapa kawasan di pantai timur Sabah berdasarkan nasihat perjalanan yang telah dikeluarkan oleh kedua-dua negara berkenaan kepada rakyatnya yang berada di negara ini.

Namun, jelasnya ESSCOM melalui kerjasama semua pihak akan berusaha melakukan tindakan proaktif menggunkan kaedah dan pendekatan yang efektif dalam menangani persepsi ini.

Sementara itu, beliau juga menyeru kepada semua pihak termasuk masyarakat di pesisir pantai timur Sabah supaya sentiasa berganding bahu dan bekerjasama dalam membenteras jenayah rentas sempadan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini. – Info X