Search

Polis Sabah giat kekang jenayah pornografi

July 3, 2023

Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Polis Sabah giat menjalankan risikan dan tangkapan berhubung jenayah pornografi kanak-kanak di negeri ini dalam mengekang peningkatan kes berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, pihaknya memandang serius jenayah itu dan ia memang wujud di negeri ini dan tangkapan terbaru dijalankan pada awal tahun ini.

“JSJ giat menjalankan operasi risikan dan ada beberapa tangkapan sebelum ini dan perkara itu wujud di negeri ini.

“Tangkapan terbaru pada awal tahun ini iaitu di Putatan berkenaan jenayah pornografi kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Penampang, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang & perasmian Dewan Terbuka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang bagi menggantikan DSP Mohd Haris Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, perincian serta statistik mengenainya akan dimaklumkan dalam satu kenyataan dan sidang media akan datang dalam masa terdekat.

Terdahulu, media baru-baru ini melaporkan Sabah merupakan negeri yang berada di kedudukan keempat dalam kes pornografi kanak-kanak di Malaysia dengan jumlah 375 kes berdasarkan rekod antara 2018 dan tahun lalu.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner (ACP) Siti Kamsiah Hassan, Selangor mendahului senarai negeri iaitu 1,114 kes diikuti Johor (492 kes) dan Kuala Lumpur (476 kes).

Kebanyakan kes membabitkan orang ramai mengakses bahan dalam talian seperti memuat naik, memuat turun, dan menyebarkan gambar dan video kanak-kanak terbabit.

Beberapa kes juga membabitkan insiden pelaku memanipulasi mangsa muda sama ada menghantar visual eksplisit atau merakam aksi seksual dengan mereka. – Info X