Search

Pemandu lori maut terkena renjatan elektrik

July 4, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang pemandu lori maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Timbok Jalan Bongaliou Longkou Lama Timbok bersebelahan sebuah kilang, di sini, Sabtu lalu.

Kejadian itu disedari seorang peniaga berusia 63 tahun yang melalui kawasan berkenaan untuk ke tempat kerjanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu jam 4.30 petang, sepasukan polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa adalah pemandu lori yang sedang memunggah barangan paip yang tertanam dalam tanah menggunakan kren lori.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. – Foto/PDRM

“Kren lori yang dikendalikan oleh mangsa bagaimanapun tersangkut pada kabel utama elektrik yang dipercayai menyebabkan berlakunya renjatan arus eletrik terhadap kren berkenaan.

“Kejadian menyebabkan mangsa berusia 32 tahun meninggal dunia selepas disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Tuaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihak Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) juga hadir di lokasi membuat pemeriksaan di sekitar tempat kejadian.

“Kakitangan SESB juga mengambil langkah-langkah keselamatan dengan memotong kabel berkenaan dan memastikan kawasan itu selamat kepada penduduk setempat.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian juga mendapati tiada unsur perbuatan khianat atau jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X