Search

Kebakaran di Sembulan, dua termasuk pegawai bomba terkena renjatan

July 4, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua lelaki termasuk seorang pegawai bomba terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah dan bengkel, di Sembulan Tengah, di sini, hari ini.

Mangsa, Mohd Ralie Abdul Manap yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu bersama seorang lagi lelaki lain dilaporkan terkena renjatan ketika operasi memadam kebakaran dijalankan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Hamsa Isnurdini berkata, kedua-dua mangsa diberikan rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menerima rawatan lanjut.

“Mangsa terkena renjatan elektrik semasa menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian.

“Seorang lagi mangsa lelaki dewasa yang turut berada di lokasi kejadian turut terkena renjatan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata kebakaran jam 12.38 itu membabitkan sebuah rumah dua tingkat dan bengkel membaiki kenderaan.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian, sepasukan pegawai dari BBP Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

Katanya operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Lintas dan BBP Penampang.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga pancutan dua aliran 200 kaki daripada sumber air dari jentera dan sumber air terbuka.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.22 petang dan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berserta bengkel membaiki kenderaan yang berada di tingkat bawah dengan keluasan 60×46 kaki persegi musnah sepenuhnya dalam kejadian ini.

“Turut terjejas ialah lima kenderaan milik penghuni selepas terkena bahangan api,” katanya sambil menambah punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Katanya kerja-kerja overhaul sedang dijalankan dan maklumat terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa. – Info X