KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan KK Bypass, berhampiran Klinik Ibu dan Anak Pekan, di Kampung Air, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.38 petang itu, mangsa Aspal Jatul, 41, yang berasal dari Semporna disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun terbabit daripada Kepayan menuju ke Jesselton Residence.
Katanya, ketika kenderaan itu melalui jalan Jalan KK Bypass, berdekatan Klinik Ibu dan Anak Pekan, di Kampung Air, tiba-tiba pemandu itu ternampak mangsa melintas jalan dari sebelah kiri.
“Bagaimanapun disebabkan jarak yang sudah terlalu dekat, pemandu pacuan empat roda itu cuba mengelak namun terlanggar juga pejalan kaki itu di bahagian hadapan kiri kenderaannya sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh kontrak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu pacuan empat roda itu bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, ketika kejadian, aliran trafik agak sibuk manakala keadaan jalan adalah lurus, mempunyai dua lorong, kering dan bertar.
Katanya, selepas siasatan di lokasi kemalangan, mayat mangsa seterusnya dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. – Info X