SEMPORNA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkenalkan lesen pelancongan berskala kecil bagi memastikan ejen dan operator pelancongan kecil yang tidak berlesen dapat melibatkan diri secara sah dalam sektor itu.
Pengarah MOTAC Sabah, Ibrahim Othman berkata, lesen berkenaan adalah kategori baharu bagi membolehkan pemain industri pelancongan kecil beroperasi secara sah.
Katanya, penawaran lesen itu dibuka sejak 16 Jun lalu selepas terdapat permintaan berkenaan yang dibangkitkan dalam satu mesyuarat di Semporna pada tahun lalu.
“Syarat untuk memiliki lesen tersebut adalah pemohon mestilah pemilik syarikat sendirian berhad dengan modal berbayar minima RM10,000.
“Ia berbeza dengan lesen pelancongan perniagaan pengendalian pelancongan dan perniagaan agensi pengembaraan (TOBTAB) biasa iaitu modal berbayar RM50,000 sehingga RM200,000,” katanya.
Selain itu, katanya, pemohon juga perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dan hanya dibenarkan beroperasi di daerah itu sahaja, tidak dibenarkan membuka cawangan syarikat di tempat lain.
“Pihak yang berminat boleh melayari laman website MOTAC bagi keterangan lanjut lesen,” katanya dalam sesi dialog bersama pihak berkepentingan sektor pelancongan daerah Semporna di sini, semalam.
Sesi dialog tersebut turut disertai Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah dan Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew.
Sementara itu, Ibrahim berkata, MOTAC turut menawarkan geran sokongan sektor kebudayaan (GSSK) serta Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) kepada penggiat industri pelancongan serta kebudayaan.
Katanya, geran itu adalah inisiatif bagi menyemarakkan serta mengaktifkan semula sektor berkaitan yang terjejas akibat Covid-19, sekaligus mempromosi Malaysia.Beliau berkata, geran GSSP siling peruntukan yang disediakan sehingga RM500,000 (acara domestik) dan sehingga RM1 juta (acara antarabangsa).
“Ia ditawarkan bagi penganjuran aktiviti seperti program pelancongan, festival dan karnival pelancongan, pameran pelancongan, acara khas dan program acara bersiri.
“Pemohon mestilah syarikat dan organisasi swasta, syarikat kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri. Pihak pemohon akan guna dana sendiri kemudian tuntut kepada kerajaan” katanya.
Manakala bagi GSSK pula, katanya, pembiayaan tidak melebihi RM300,000 dan permohonan di bawah RM100,000 (pendahuluan diberikan 60 peratus dan 40 peratus lagi diberi kemudian).
“Bagi program di atas RM100,000 (40 peratus pendahuluan diberi dan 60 peratus disalurkan selepas program),” katanya.
Menurutnya kedua-dua skim berkenaan dibuka sejak Jun lalu dan keterangan lanjut bagi permohonan GSSK atau GSSP juga boleh didapati di laman Website MOTAC.
“Saya menyarankan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan di Sabah mengambil peluang memanfaatkan inisiatif yang disediakan kementerian,” katanya. – Info X