KOTA KINABALU: Penyerang import baharu Sabah FC, Ramon Machado de Macedo muncul penyelamat buat pasukannya apabila meledak gol kemenangan di penghujung permainan dalam aksi Liga Super menentang Kuching City FC, di Stadium Likas, sebentar tadi.
Jaringan itu sekali gus memastikan kemenangan tipis 4-3 buat Sabah FC seterusnya ‘menghantar’ pasukan pelawat pulang dengan ‘tangan kosong’.

Ramon menyumbang gol kemenangan buat Sabah pada minit kecederaan, kira-kira seminit sebelum wisel penamat selepas tuan rumah diikat 3-3 sepanjang babak kedua perlawanan yang menyaksikan Kuching City beraksi dengan agresif.
Gol keempat Sabah pada minit ke-93 itu juga adalah jaringan kedua Ramon dalam aksi pertamanya bersama Sabah FC selepas gol pertama dirinya pada minit ke-26 hasil hantaran Saddil Ramdani, pada separuh masa pertama.
Sebelum itu, Saddil mencipta gol pertama buat Sabah hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti pasukan lawan yang gagal ditampan benteng Kuching City pada minit ke-11.
Skuad Sang Badak pada mulanya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, sebelum menerima asakan bertubi-tubi daripada pemain Kuching City sebaik perlawanan beralih ke babak kedua.
Aksi agresif yang dilakukan pasukan pelawat itu menyebabkan Sabah dibolosi tiga gol sepanjang babak kedua termasuk gol hatrik oleh penyerang Kuching City, Abu Kamara pada minit ke-66 dan minit ke-86.
Satu lagi gol Kuching City dijaringkan pada minit ke-54 menerusi sepakan leret Amir Amri Salleh, iaitu gol pertama pasukan pelawat yang mengubah kedudukan permainan kepada 2-1.
Sabah kemudian berjaya melebarkan seketika kedudukan jaringan kepada 3-1 hasil rembatan kencang Stuart John Wilkin dari luar kotak penalti pada minit ke-57, namun kedudukan itu hanya bertahan kira-kira sembilan minit.
Kuching City seterusnya mencipta gol kedua yang menukar kedudukan kepada 3-2 hasil kepintaran Abu Kamara yang bijak memperdaya penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan empat pertahanan Sabah pada minit ke-66 sebelum mencipta gol penyamaan 3-3 kira-kira 20 minit kemudian.
Dengan keputusan itu, Sabah berjaya menambah tiga mata lagi kepada 30 mata dalam cabaran Liga Super musim ini dan buat masa ini memintas Kedah Darul Aman FC di tangga keempat carta liga. – Info X
Foto – MAHA