Search

Tindakan pantas bomba selamatkan dua lot kedai daripada musnah terbakar

July 11, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua lot kedai daripada musnah dijilat api di Kampung Tungku, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.10 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam dan menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah bangunan jenis kekal yang mempunyai enam lot kedai di kampung berkenaan terbakar.

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman membabitkan kebakaran lot kedai di Kampung Tungku, Lahad Datu. – Foto/Bomba

“Sebuah lot kedai musnah dalam kebakaran itu, tiga lagi hanya terbakar sebanyak 30 peratus dan dua lot kedai berjaya diselamatkan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden kebakaran berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.19 pagi.

“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya. – Info X