KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengekang aktiviti pengedaran rokok seludup di tepi Sungai Likas, di sini, semalam.
Menerusi Op Kontraban jam 6.46 petang itu oleh Unit Risikan Marin PPM Kota Kinabalu merampas sejumlah rokok pelbagai jenama bernilai RM70,000.
Menurut sumber, Unit Risikan Marin PPM Kota Kinabalu yang dalam rondaan pemantauan di kawasan Sungai Likas terlihat sekumpulan lelaki yang mencurigakan di tepi sungia berkenaan.

“Ketika dihampiri, mereka bertempiaran melarikan diri dan hasil pemeriksaan di tempat itu menemui pelbagai jenama rokok tidak bercukai.
“Semua rokok yang dirampas itu disyaki untuk diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya di sini, hari ini.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan rokok itu dianggarkan berjumlah RM70,000.
“Rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X