Search

PGA rampas 2,700 kotak ayam sejuk beku RM540,000

July 15, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 (BN 20) Beluran merampas ayam sejuk beku (paha ayam) tanpa permit sebanyak 2,700 kotak, bernilai lebih kurang RM540,000 yang dipercayai dibawa masuk dari Amerika Syarikat, di Jalan Telupid, Batu 4, Kampung Telupid, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.35 pagi itu, rampasan oleh cawangan Risik & Task Force Batalion 20 PGA Beluran turut menahan dua pemandu dan kelindan lori.

Pasukan PGA Batalion 20 Beluran menahan lori bawa muatan kotak berisi ayam sejuk beku tanpa permit.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, cawangan Risik & Task Force Batalion 20 PGA menahan dua lori jenis Nissan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu menemui 2,700 kotak ayam sejuk beku (paha ayam) yang diimport dari Amerika Syarikat tanpa sebarang permit barangan basah.

Ayam sejuk beku yang dirampas PGA Batalion 20 Beluran di Jalan Telupid, Batu 4, Kampung Telupid, Beluran.

“Pemeriksaan lanjut juga mereka gagal mengemukakan lesen import produk haiwan dan cop halal di kotak meragukan serta tiada sijil halal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua pemandu lelaki berusia 25, 33 tahun dan kelindan berusia 33 tahun ditahan.

“Nilai rampasan semua ayam sejuk beku berjumlah RM540,000 manakala dua lori yang disita bernilai RM200,000 dan nilai keseluruhan rampasan lebih kurang RM740,000.

Tiga lelaki ditahan dan rampas lori bawa ayam sejuk beku tanpa permit.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Telupid untuk laporan polis dan rujukan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Enakmen Kebajikan Haiwan 2015. – Info X