KOTA KINABALU: Sabah FC menang bergaya 4-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Kemenangan The Rhinos itu juga sekali gus menepati misi mereka untuk tidak memberi ruang kepada Pahang selaku pasukan tiga teratas liga ketika ini.
Empat gol tuan rumah, masing-masing dua dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua dengan dua gol disumbangkan Darren Lok pada minit kelapan dan ke-64.

Dua gol lagi masing-masing dijaringkan oleh Ramon Machado de Macedo pada minit ke-42 dan Stuart John Wilkin pada minit ke-68.
Secara keseluruhan, Sabah berjaya menguasai sepanjang permainan malam ini menerusi pergerakan yang lebih teratur dan bertenaga berbanding penampilan mereka dalam perlawanan sebelum ini.
Lebih manis, jaringan besar Sabah malam ini dicapai ketika penampilan terakhir kaptennya, Baddrol Bakhtiar yang diturunkan pada minit ke-79 menggantikan Park Taesu.
Baddrol sebelum ini diumumkan tidak lagi bersama Sabah FC selepas perlawanan malam ini dan dikhabarkan bakal menukar gelanggang ke bidang politik. – Info X