LABUAN: Polis giat memburu suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Sungai Wang Kinarut, Papar, pada 14 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan satu kes pecah rumah hingga mangsa sekeluarga diikat menggunakan wayar.”
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar telah merancang ‘projek meeting’ berkaitan kejadian itu.
“Polis sedang giat memburu suspek terbabit dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat,” katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Labuan di Dewan Bancolasi IPD Labuan, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular laporan polis mengenai kejadian kes pecah rumah di Taman Sungai Wang Kinarut, mangsa dan keluarganya diikat menggunakan wayar oleh suspek yang didakwa bersenjata parang.
Dalam kejadian 2.30 pagi pada 14 Julai lalu, suspek turut melarikan beberapa barang kemas dan wang tunai milik mangsa dan keluarganya. – Info X