TUARAN: Seorang kanak-kanak perempuan lemas manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki selamat ketika mandi di Pantai Syahbandar, di sini, hari ini.
Imanina Nasuha Borhan, 10, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuaran manakala Muhammad Harris Zaki Abdullah, 7, dalam keadaan lemah dan menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.59 petang.
Katanya, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Laporan terdapat dua mangsa lemas ketika melakukan aktiviti mandi manda.
“Kedua-dua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan EMRS bertindak memberi rawatan awal dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Mangsa Imanina Nasuha disahkan meninggal dunia di hospital manakala Muhammad Harris selamat namun masih dalam keadaan lemah.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.35 petang,” katanya. – Info X