Search

KPDN rampas 5,300 liter diesel bersubsidi di Tuaran

July 29, 2023

Info X Reporters

TUARAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang lelaki dan merampas 5,300 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor tapak pembinaan di Rugading, di sini, semalam.

Serbuan menerusi Op Tiris oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Tuaran kira-kira jam 11 itu menemui minyak diesel dalam sebuah tangki besi berbentuk segi empat yang dilengkapi dengan pam meter elektronik.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan Daerah KPDN Tuaran, Saripuddin Moleng berkata, serbuan itu dijalankan berdasarkan hasil risikan selama tiga hari di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lokasi menemukan 5,300 liter minyak diesel dalam sebuah tangki besi berbentuk segi empat yang dilengkapi dengan pam meter elektronik.

“Rampasan minyak kemudian disita dan membabitkan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM25,7000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penyelia stor di lokasi serbuan turut ditahan untuk direkodkan keterangan bagi tujuan membantu siasatan awal kes ini mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Berdasarkan keterangan awal yang direkodkan daripada pekerja stor di tempat kejadian menyatakan barang kawalan ini diperolehi daripada pembekal diesel industri yang sah.

“Pekerja itu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dan juga permit atau lesen kebenaran untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya.

Saripuddin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula sekiranya disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Menurutnya, Op Tiris dilancarkan sejak 1 Mac tahun ini yang bertujuan untuk membanteras penyelewengan dan ketirisan minyak diesel bersubsidi.

“KPDN Cawangan Tuaran akan terus menjalankan risikan, pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan terhadap semua kegiatan berkaitan barang kawalan agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi.

“Masyarakat juga disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan Negara,” katanya.

Beliau juga mengalukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga, aduan juga boleh disalurkan menerusi saluran Whatsapp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal aduan e-aduan.kpdn.gov.my serta menghantar surat rasmi ke pejabat KPDN yang berdekatan dan bilik gerakan KPDN negeri. – Info X