Search

Ahli geologi warga Indonesia disengat lebah ditemui selamat

August 2, 2023

Info X Reporters

KINABATANGAN: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan ahli geologi warga Indonesia yang mengalami kecederaan selepas di sengat lebah di Hutan Simpan Sapulut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 24 tahun bersama empat lagi ahli kumpulannya berusia 25 hingga 33 tahun dari negara sama masuk ke dalam hutan berkenaan untuk menjalankan kajian arang batu.

“Pada 31 Julai, mangsa dilapor mengalami kecederaan selepas disengat lebah menyebabkan mangsa sesak nafas dan sukar untuk meneruskan perjalanan keluar serta memerlukan bantuan pasukan penyelamat.

“Bertindak dengan kejadian, sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bergerak ke lokasi sejauh 180 kilometer bagi menjalankan operasi menyelamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi turut mendapat bantuan dari pihak BBP Sook dan tiada talian telefon di lokasi.

Tambahnya, mangsa hanya berhubung menggunakan radio satelit bagi meminta bantuan kepada pasukan penyelamat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan selama tiga hari sebelum pasukan SAR berjaya menemukan mangsa pada kedudukan tiga kilometer dari simpang masuk Hutan Simpan Sapulut Sungai Ulu Pinangah pada jam 10.30 pagi.

“Mangsa dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Nabawan bagi menerima rawatan susulan,” katanya.

Menurutnya, operasi keseluruhan kemudian ditamatkan jam 1.50 petang selepas memastikan tiada unsur bahaya lain dalam kes ini. – Info X