Search

GRS tiada hala tuju tingkat ekonomi Sabah, hanya bergantung kepada eksport komoditi mentah – Warisan

August 3, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata, kerbergantungan berterusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap eksport komoditi mentah selain gagal membina industri pembuatan dan hiliran tempatan menunjukkan gabungan berkenaan tidak mempunyai hala tuju bagi meningkatkan ekonomi Sabah.

Katanya, sekiranya kerajaan negeri benar-benar serius untuk membina industri pembuatan dan hiliran tempatan Sabah, maka mereka perlu menunjukkan pendirian agresif dalam pengambilalihan kawalan terhadap pemboleh pelaburan di Sabah seperti bekalan tenaga, air, infrastruktur dan pelabuhan.

“Kebergantungan berterusan nerajaan negeri terhadap eksport komoditi mentah dan kegagalan GRS membina industri pembuatan dan hiliran tempatan untuk tahun ketiga berturut-turut menunjukkan gabungan itu tidak mempunyai sebarang dasar khusus, hala tuju atau rangka kerja untuk meningkatkan ekonomi Sabah.

“Usaha ini penting kerana kumpulan yang terbesar dalam industri pembuatan dan hiliran tempatan di mana-mana negeri atau negara ialah industri ringan dan sederhana, yang memerlukan kos operasi dan logistik yang rendah.

“Inilah yang telah dilakukan oleh Warisan pada 2018 dan walaupun kita berdepan kekangan kewangan dan pemboleh pelaburan yang teruk ketika itu, kita tidak menyerahkan pengurusan sumber asli negeri kepada pihak asing hanya kerana kita terdesak untuk membina industri pembuatan dan hiliran tempatan negeri ini.

“Sebaliknya Warisan terus berbincang dengan Kerajaan Persekutuan secara agresif dan keputusannya ialah kita berjaya mendapatkan semula kawalan ke atas pengedaran gas asli Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Darell yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog berkata, ianya menyedihkan apabila melihat pemimpin-pemimpin GRS sibuk dengan pelbagai jenis cadangan seperti perdagangan karbon dan pemindahan lapangan terbang dari Kota Kinabalu ke Kimanis tetapi tiada satu cadangan pun yang dibuat untuk memulihkan industri pulpa dan kertas di Sipitang atas tujuan utama untuk menjadikan Sabah peneraju industri itu sekali lagi di Malaysia.

“Saya rasa GRS sedar bahawa industri pembuatan dan industri hiliran tempatan adalah sangat penting untuk Sabah tetapi mungkin pemimpin-pemimpin gabungan itu tidak mempunyai komitmen untuk meneruskannya dengan bersungguh-sungguh disebabkan oleh kepimpinan yang lemah dan survival politik komponen masing-masing,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yun Bin menganggap, kebergantungan berterusan Kerajaan Negeri terhadap komoditi petroleum mentah, gas asli dan minyak sawit sebagai sumber eksport utama Sabah seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), baru-baru ini, tidak menguntungkan dari segi peluang pekerjaan dan peningkatan tahap sosioekonomi negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri yang diterajui GRS sepatutnya memberi fokus terhadap pembinaan industri pembuatan dan hiliran tempatan bagi membolehkan negeri itu beralih daripada negeri pengeksport komoditi mentah kepada negeri perindustrian yang boleh menjana peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada rakyat Sabah.

“DOSM melaporkan dalam Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah bagi tahun 2022 bahawa jumlah eksport negeri bagi tahun 2022 bernilai RM77.2 bilion dengan imbangan dagangan bernilai RM36.2 bilion. “Daripada jumlah ini, 39.3 peratus disumbangkan oleh eksport petroleum mentah (RM30.3 bilion), 27.4 peratus minyak sawit mentah (RM21.1 bilion) dan 6.7 peratus gas asli (RM5.2 bilion).

“Ini memberi gambaran bahawa sebanyak RM56.6 bilion (73.4 peratus) daripada jumlah nilai eksport Sabah ini hanya akan dinikmati oleh sekumpulan kecil, terutamanya pemilik yang mungkin tidak menetap di Sabah, yang terlibat dalam salah satu daripada tiga sektor di atas,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Negeri akan mengutip cukai daripada sektor-sektor berkenaan, masalah utama dengan aktiviti pengeluaran dan pengeksportan komoditi mentah ini ialah ia tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah dari segi pewujudan pekerjaan dan peningkatan sosioekonomi.

“Inilah sebab mengapa Malaysia sendiri beralih daripada negara pengeksport komoditi mentah kepada perindustrian diawal tahu 80-an.

“Sekiranya GRS telah mencontohi keazaman yang ditunjukkan oleh Warisan untuk membangunkan industri perkilangan dan hiliran tempatan berdasarkan komoditi negeri seperti petroleum, gas asli, minyak sawit dan kayu balak untuk tujuan eksport, maka lebih banyak peluang pekerjaan sepatutnya telah dijanakan untuk graduan-graduan Sabah sepadan dengan pencapaian akademik mereka.

“Selain itu, jumlah eksport kita untuk tahun 2022 pula mungkin akan mencatatkan nilai yang lebih baik pada anggaran RM100 bilion dan bukannya hanya RM77.2 bilion,” katanya.

Sebagai perbandingan, katanya, Sarawak merekodkan jumlah eksport bernilai RM153 bilion (dua kali ganda lebih besar daripada nilai eksport Sabah) bagi tahun yang sama dan 27.5 peratus (RM42.1 bilion) daripada jumlah nilai eksport itu datangnya daripada industri pembuatan berkaitan produk logam, produk besi dan keluli, barangan E&E, bahan kimia dan produk kimia.

“Ketika pemimpin-pemimpin GRS dengan bangga mengatakan kepada rakyat Sabah tentang kejayaan gabungan itu apabila Sabah mencatatkan peningkatan dalam jumlah eksport bagi tahun 2022, mereka tidak sedar bahawa nilai eksport industri pembuatan tempatan Sarawak sahaja (RM42.1 bilion) sudah melebihi separuh daripada jumlah nilai eksport Sabah (RM77.2 bilion),” katanya lagi. – Info X