TAWAU: Kegiatan tiga lelaki mencuri buah kelapa sawit di ladang Merotai, di sini, memakan diri apabila ditahan polis, kelmarin.
Ketiga-tiga suspek termasuk dua tidak memiliki dokumen yang sah berusia 24 hingga 53 tahun ditahan jam 8.10 pagi selepas menerima maklumat orang awam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Bin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai ke kawasan ladang Merotai Plantation, terserempak dengan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati buah sawit yang dimuat di kenderaan pikap jenis Toyota Hilux dipercayai dicuri.
“Susulan itu, polis merampas kenderaan berkenaan bersama 47 tandan buah kelapa sawit bernilai kira-kira RM600 dan dua batang besi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, suspek dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri buah kelapa sawit.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat di daerah ini yang menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya suspek terbabit.
“Saya berharap dapat bekerjasama dalam menangani jenayah dan dadah serta menjadikan Tawau sebagai sebuah daerah yang aman dan sejahtera,” katanya. – Info X