SANDAKAN: Taktik seorang juragan menyeludup barang kawalan ke Filipina menggunakan bot nelayan bagi mengelak dikesan gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Lelaki warga tempatan berusia 29 tahun ditahan anggota PPM Sandakan menerusi Op Taring Gelora di perairan Berhala, di sini, 12.30 tengah malam.

Menerusi operasi itu, suspek ditahan bersama bot nelayan dengan muatan 600 liter petrol, 6,000 liter diesel dan 2,006 peket minyak masak bersubsidi.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM189,145.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X