Search

Wanita maut kereta digilis lori

August 22, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya digilis lori dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di jalan bertingkat Lido di Jalan Lintas, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa Nicolette Hannah George, 26, yang memandu kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa beralamat di Kampung Babah, Penampang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kepayan 88.

Mohd Zaidi (kiri) bersama pegawai penyiasat berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut. – Foto/InfoX

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tujuh kenderaan.

Katanya, kenderaan terbabit iaitu dua lori dan lima kenderaan jenis Perodua Bezza, Myvi, Toyota Vios, Proton Saga dan Iriz.

“Kemalangan dipercayai apabila lori melanggar sebuah kenderaan di hadapannya hingga menyebabkan kenderaan yang paling belakang tersepit di bawah lori.

“Akibat kejadian itu, pemandu kereta Perodua Bezza tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Keadaan kereta dipandu mangsa yang tersepit di bawah lori. – Foto/InfoX

Mohd Zaidi berkata, pihaknya belum menerima lain-lain mangsa yang terbabit sama ada cedera ataupun tidak.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu.

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta dipandunya. – Foto/InfoX

“Bomba menggunakan peralatan khas dengan dibantu penarik kereta bagi memudahkan urusan mengeluarkan mangsa.

“Pasukan bomba mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan akhirnya berjaya dikeluarkan,” katanya. – Info X