PUTATAN: Sebanyak sembilan motosikal dan dua kereta termasuk kenderaan mewah di parkir bawah tanah di Platinum Apartment, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.40 pagi.

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan sembilan motosikal pelbagai jenis serta dua kereta jenis Perodua Axia dan Mercedez Benz terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 4.25 pagi daripada merebak lebih besar.
“Tiada mangsa terbabit dan selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 4.40 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X