KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan tertiarap di lereng bukit selekoh kedua di Jalan Tasbih Shangri-La Height, di sini, petang tadi.
Mayat lelaki berusia 83 tahun ditemui oleh orang awam yang berjogging di kawasan berkenaan sebelum menghubungi pihak polis jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu sepasukan polis digerakkan ke lokasi berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, hasil pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) mengesahkan kematian dan punca kematian tidak dapat dipastikan kerana belum dapat memeriksa keseluruhan tubuh mangsa.
“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah membuat pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang kecederaan dan unsur jenayah.
“Selepas pemeriksaan, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HQE I, untuk tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, berdasarkan siasat awal mangsa tinggal seorang diri dan jarak rumah dengan tempat kejadian kira-kira 15 meter
“Menurut ahli keluarganya, mangsa tiada masalah kesihatan dan juga selalu keluar awal pagi dan berjalan kaki hingga ke pantai Tanjung Aru dari rumahnya.
“Ketika kejadian mangsa dipercayai keluar awal pagi memetik buah rambutan dibawa rumah seberang jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, setakat ini punca kematian belum dapat dikenalpasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X