Search

Remaja perempuan dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

August 29, 2023

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang remaja perempuan dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di Daradaat View di Kampung Ratau di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Qiezelle Yukiko Gerald,14, dipercayai mandi bersama keluarga sebelum dihanyut arus deras dan gagal dikesan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua itu dilaksanakan sepasukan pegawai termasuk Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Pasukan Bomba Bantuan (PBB).

Katanya, operasi SAR dimulakan seawal jam 8 pagi menggunakan bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membabitkan radius pencarian sehingga empat kilometer.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.49 petang mengatakan terdapat seorang mangsa dilaporkan lemas di sungai dan dibawa arus.

“Menurut saksi, mangsa dilaporkan lemas di bawah Jambatan Gantung Daradaat View ketika melakukan aktiviti mandi manda bersama keluarga pada jam 2.30 petang,” katanya.

Menurutnya, bertindak dengan maklumat, pasukan Bomba menjalankan operasi SAR kepada dua bahagian iaitu operasi SAR di sepanjang pinggir sungai membabitkan keluasan sehingga empat kilometer.

Katanya, operasi SAR juga dijalankan dengan radius 50 meter dari mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 8 malam.

“Sehingga kini mangsa belum dijumpai dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X