TAWAU: Seorang lelaki warga emas cedera dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Tanjung Batu Laut, di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 4.11 petang dan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
“Turut terbakar sebuah kereta jenis Perodua Kelisa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 78 tahun cedera dan operasi dilaporkan terkawal pada 4.40 petang.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.57 petang.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X