Search

2 beranak selamat rumah terbakar

September 7, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Dua beranak mengalami detik cemas selepas rumah mereka di Kampung Sepagaya, Jalan Silam, di sini terbakar, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 pagi.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati terdapat sebuah rumah jenis tidak kekal telah musnah terbakar dan operasi memadam terus dijalankan.

“Kami difahamkan terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita bersama anaknya dilaporkan berjaya keluar sendiri dari rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan beberapa rumah berhampiran daripada musnah terbakar.

“Setakat ini, kejadian itu hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja dan kedua-dua mangsa terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.18 pagi,” katanya. – Info X