Search

Bung, isteri bebas pertuduhan rasuah RM2.8 juta

September 7, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Bung Moktar Radin serta isterinya Zizie Izette Abdul Samad dilepaskan dan dibebaskan (DAA) daripada pertuduhan kes rasuah RM2.8 juta dihadapi mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azhar Abdul Hamid, hari ini, membenarkan permohonan pasangan terbabit untuk membatalkan perintah supaya mereka membela diri dalam kes berkenaan.

Azhar membenarkan permohonan semakan oleh Bung dan Zizie, yang menyasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lepas.

Menurut laporan, semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, Azhar memutuskan bahawa ini adalah kes yang wajar untuk mahkamah jenayah menggunakan budi bicara melibatkan kuasa penyemakan.

“(Terdapat) salah laksana keadilan (miscarriage of justice), (dengan itu memerlukan) kuasa semakan. Keputusan prima facie diketepikan dan ia digantikan dengan pelepasan dan dibebaskan,” kata Azhar seperti dilapor Malaysiakini.

Pada 2 Sept tahun lepas, hakim perbicaraan mahkamah rendah Rozina Ayob memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Bung dan Zizie, dan memerintahkan kedua-dua mereka membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berkaitan pelaburan unit amanah.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya Law Chin How berkata mereka akan mendapatkan arahan daripada pihak atasan di Jabatan Peguam Negara (AGC) sama ada akan merayu ke Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, pada 3 Mei 2019, Bung minta dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta untuk mendapatkan kelulusan Felcra Bhd melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. – Info X