Search

Pandu melawan arus, lelaki ditahan bersama lebih 2 kilogram syabu

September 8, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Cubaan seorang lelaki disyaki pengedar dadah melarikan dengan memandu melawan arus di Jalan Timur, Sin Onn, di sini, Rabu lalu gagal apabila suspek berjaya ditahan bersama lebih dua kilogram dadah jenis syabu.

Suspek warga tempatan berusia 30 tahun itu memandu melawan arus ketika penugasan sekatan jalan raya (SJR) di jalan berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, menjalankan penugasan SJR.

Katanya, sebuah kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandu suspek melarikan diri dengan memandu melawan arus namun berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemukan empat bungkusan kecil plastik lutsinar dan dua plastik teh cina bertulis ‘Guanyinwang’ disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 2,162.40 gram.

“Siasatan mendapati, suspek warga tempatan berusia 30 tahun itu adalah seorang penganggur dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada tahun 2016 lalu,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Lebih dua kilogram dadah jenis syabu yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki tempatan dalam SJR di Jalan Timur, Sin Onn, Tawau.

Jasmin berkata, suspek dan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM120,000 itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 7 September lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya semua dadah jenis syabu yang dirampas itu adalah untuk pasaran serta kegunaan penagih di daerah ini dan sekitarnya,” katanya.

Jasmin berkata, pihaknya kini sedang giat menjalankan usaha mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah ini bagi membantu siasatan polis.

“Polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Kerjasama dan maklumat orang awam sangat dialu-alukan bagi bersama-sama membanteras kegiatan ini terus berleluasa,” katanya. – Info X