Search

Golongan belia perlu lebih aktif, amal gaya hidup sihat – Rizkam

September 14, 2023

Info X Reporters

TAMPARULI: Golongan belia disaran untuk mengaktifkan diri dalam bidang sukan, atas kesedaran menjalani gaya hidup lebih sihat dan aktif.

Pemaju Mukim Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, berkata, anak-anak muda perlu mengambil masa bersukan walaupun masing-masing sibuk dengan aktiviti harian.

“Sebenarnya kesedaran membina budaya sihat bukan setakat dalam kalangan umur belia semata-mata tetapi semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam Majlis Penyampaian Alat Sukan kepada dua buah kampung, di Pejabat Perhubungan DUN N.14 Tamparuli, sini baru-baru ini.

Menurut Rizkam, masyarakat khususnya golongan muda belia perlu bersukan untuk kekal aktif selain demi menjaga kesihatan diri masing-masing.

“Maklumlah, boleh dikatakan golongan belia pada ketika ini merupakan antara yang lebih banyak terperap bermain game di rumah, atau sesama kumpulan mereka,” ujar Rizkam.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli, berharap agar sumbangan peralatan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi menarik minat lebih ramai belia aktif bersukan.

Sumbangan berbentuk bola sepak itu diserahkan kepada wakil Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Estet dan Kampung Rani Tenghilan.

“Terima kasih kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, merangkap Wakil Rakyat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim atas keprihatinan beliau kepada belia-belia kita,” karanya.

Turut hadir Pengerusi JKKK Kampung Estet, Johnny Isoi dan Ketua Anak Negeri (KAN) Tenghilan, Selvis Gambar. – Info X