Search

Penunggang maut terperosok bawah kereta

September 17, 2023

Info X Reporters

TENOM: Seorang lelaki maut terperosok bawah kereta selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 4, Jalan Tenom-Keningau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 19 tahun warga Filipina disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Hyundai Atos dari arah Tenom memasuki simpang Taman Sri Naluyan telah dilanggar oleh sebuah motosikal yang menuju ke arah Tenom.

Katanya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak di atas jalan raya dan dipercayai tidak sedarkan diri.

“Sejurus itu, sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi dari arah Keningau menuju ke Pekan Tenom tidak sempat membrek dan mengelak lalu terlanggar mangsa penunggang motosikal di laluan kenderaannya.

“Penunggang motosikal yang tersepit di bawah kereta telah terseret sejauh 50 meter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasan berkata, akibat daripada itu, penunggang motosikal parah di kepala dan badan dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Anggota bomba dan polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital. – Foto/Bomba

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X