KOTA KINABALU: Polis berjaya merampas pelbagai barangan makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai lebih RM19.6 juta di dua gudang di sekitar Penampang, di sini, Sabtu lalu.
Dalam serbuan jam 10 pagi itu, kedua-dua gudang berkenaan dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan sebelum dijual kepada pasaran tempatan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, serbuan dijalankan selepas kedua-dua premis ini disyaki memiliki produk dan hasil haiwan tanpa lesen yang sah.

Selain itu katanya, semua produk makanan ini mempunyai status halal meragukan serta dipercayai melanggar peraturan-peraturan kebersihan makanan.
“Antara barangan yang berjaya dirampas adalah makanan beku seperti pelbagai bahagian ayam, ikan, itik, sotong, kambing dan daging lembu.
“Selain itu, polis turut merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku segera seperti nugget, sosej serta bebola ikan pelbagai jenama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, ketika serbuan, polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap 13 individu berusia 2 hingga 38 tahun yang dipercayai pekerja di kedua-dua gudang berkenaan.
“Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan dan semua pekerja berkenaan juga tidak mempunyai rekod lampau.
“Pasukan operasi kemudiannya merampas empat lori, lapan trak angkat susun (forklift) dan satu set komputer untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan juga mendapati kedua-dua premis ini beroperasi dengan lesen tamat tempoh sejak Julai lalu,” katanya.

Menurutnya, polis percaya, semua bahan makanan ini diperolehi daripada negara Brazil, Sweden, Australia, German dan Poland di mana semua negara berkenaan tidak mempunyai pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, siasatan juga mendapati terdapat daging tamat tempoh tetapi tidak dilupuskan secara betul selain berlaku pengubahan logo halal yang disalah guna di kotak bungkusan makanan berkenaan.
Shahurinain berkata, semua rampasan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM20.46 juta diserahkan kepada Pegawai Operasi Seksyen Veterinar Sabah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 Negeri Sabah.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, Shahurinain berkata, serbuan dijalankan hasil kerjasama Bahagian Wildlife Crime Bureau, Perisikan dan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Katanya, operasi turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah. – Info X