Search

Mangsa serangan buaya di Kinabatangan ditemui meninggal dunia

October 23, 2023

Willie Jude

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya, di Ladang Maisang Sime Dardy Sukau, di sini, ditemui meninggal dunia, hari ini.

Mangsa Kamirun Malul, 42, ditemui oleh penduduk kampung pada jarak kira-kira 500 meter dari kawasan dia dilaporkan dibaham buaya, jam 3 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, mangsa dikatakan diserang reptilian berkenaan ketika mencuci pakaian dan mandi di tebing sungai.

“Mayat mangsa telah dibawa ke rumah keluarganya dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.10 petang.

Katanya, sepasukan anggota kemudian bergegas ke lokasi yang terletak sejauh 62 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan.

“Bagaimanapun mangsa telah ditemui oleh penduduk kampung pada jam 3 petang dan pasukan bomba kemudian menamatkan operasi pada jam 5.38 petang,” katanya.

Kejadian serangan buaya itu adalah yang ketiga di negeri ini dalam tempoh sembilan hari.

Sebelum ini, dua kes serangan buaya turut berlaku di Lahad Datu dan Tawau, masing-masing pada 15 dan 19 Oktober.

Kes serangan reptilia itu di Lahad Datu membabitkan seorang lelaki dikenali sebagai Salim Sakka, 50, yang dilaporkan dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memukat ikan di Sungai Silabukan.

Sementara itu dalam kes di Tawau, seorang lagi lelaki menjadi mangsa serangan buaya di Sungai Burung Kampung Mas-Mas.

Mangsa dikenali sebagai Asdar dipercayai dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memancing di tebing sungai berkenaan.

Setakat ini, kedua-dua mangsa terbabit masih belum ditemui. – Info X