Search

SATT tawar pakej umrah rahmah

October 25, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Syarikat pengendali umrah dan haji, Seri Alijah Travel & Tours Sdn Bhd (SATT) menawarkan pakej umrah rahmah dalam usaha memberi peluang lebih ramai umat Islam di Sabah serta Sarawak menunaikan ibadah umrah di tanah suci.

Menerusi pakej umrah serendah RM6,890, penawaran berkenaan adalah lebih murah bagi jemaah dari borneo yang lazimnya perlu mengeluarkan kos tambahan bagi penginapan serta tiket penerbangan domestik ke Kuala Lumpur.

Pengurus Umrah dan Haji Seri Alijah Travel & Tours Sdn Bhd, Norhafizah Aliakbar berkata, menerusi pakej yang ditawarkan syarikatnya itu jemaah tidak perlu lagi bermalam di Kuala Lumpur seperti pakej umrah yang biasa ditawarkan syarikat pengandali lain.

“Kita menggunakan penerbangan Royal Brunei Airlines atau Scoot Airlines yang mana jemaah hanya perlu transit beberapa jam sahaja sama ada di negara Brunei atau Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah, Arab Saudi.

“Inisiatif ini lebih memudahkan dan  mampu mengurangkan kos yang perlu dikeluarkan oleh jemaah.

“Hal ini kerana kita sedar ramai umat Islam di dua negeri ini menyimpan hasrat menunaikan umrah namun adakalanya berdepan dengan kekangan harga pakej sedikit mahal berbanding di Semenanjung.

“Oleh itu, syarikat kami mengambil pendekatan menawarkan pakej rahmah agar lebih ramai masyarakat Islam di borneo berpeluang ke tanah suci untuk melaksanakan ibadah umrah.

“Paling penting walaupun pakej ini lebih murah namun kita tetap menjaga mutu perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Pakej Rahmah Bersama Seri Alijah Travel & Tours Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, seramai 49 orang jemaah kumpulan pertama yang mengikuti pakej umrah rahmah bersama Seri Alijah Travel & Tours Sdn Bhd turut berlepas ke Jeddah bagi menunaiian ibadah umrah.

Dalam pada itu, Norhafizah memaklumkan seramai 100 orang sudah mendaftar pakej umrah rahmah yang disediakan syarikatnya bagi tahun ini.

Sementara itu, Norhafizah berkata, pihaknya mensasarkan lebih ramai jumlah jemaah yang mendaftar dibawah pakej umrah sama sepanjang tahun depan. – Info X