SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu jalan di Tagasan, Jalan Tawau – Semporna, di sini, petang ini.
Mangsa berusia lingkungan 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah akibat tersepit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya pada 2.16 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan kenderaan Toyota Hilux dipercayai terbabas dan terbalik dan erdapat seorang mangsa tersepit.
“Pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada 3.28 petang,” katanya. – Info X