KOTA KINABALU: Dua lelaki maut manakala lima cedera termasuk seorang parah selepas kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik dan pokok besar di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Lembaga Padi, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, dua mangsa berusia 17 dan 23 tahun disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas manakala seorang mangsa lelaki berusia 21 tahun parah dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
Empat lagi lelaki termasuk pemandu berusia antara 15 hingga 22 tahun cedera dan semua mereka dirawat di HQE I dan Hospital Tuaran.

Difahamkan, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Skim Penempatan Telipok selepas dari pusat bandar raya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kenderaan Toyota Avanza dipandu seorang lelaki bersama enam rakannya dari pusat bandar raya menuju ke rumah di Skim Penempatan Telipok.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Toyota Avanza itu dipercayai hilang kawalan dipercayai akibat dipandu dalam kelajuan yang tinggi lalu terbabas merempuh tiang elektik dan pokok besar di bahu kiri jalan.
“Akibat daripada itu, seorang penumpang tercampak keluar manakala seorang lagi tersepit di bahagian penumpang belakang dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemandu dan penumpang yang lain berjaya keluar daripada kenderaan berkenaan.
“Namun pemandu dan seorang lagi penumpang beredar terlebih dahulu pulang ke rumah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran.
“Tiga lagi mangsa termasuk seorang parah dihantar ke HQE I dan II untuk rawatan lanjut.
“Dua mangsa yang maut dihantar ke HQE I untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sepasukan bomba turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terselit. – Info X