SANDAKAN: Tindakan menyimpan daging ayam, itik dan babi di tempat pembekuan yang sama mengundang padah apabila premis yang terletak di daerah ini diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Halal, pagi tadi.
Serbuan kira-kira jam 11 pagi oleh 11 pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Pejabat Kesihatan Sandakan merampas 864 kilogram produk sejuk beku daging ayam, itik dan babi dianggarkan bernilai RM17,302.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, operasi itu dilakukan hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Susulan itu, katanya satu serbuan dilakukan di sebuah premis pengimport dan pemborong produk sejuk beku di daerah ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu ada menyimpan produk halal yang bercampur dengan produk tidak halal terdiri daripada daging ayam, itik dan babi.
“Sebanyak 864 kilogram produk sejuk beku ayam, itik dan babi disita dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM17,302,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azdy berkata, kes disiasat dibawah Perintah 3, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara bersepadu ke atas premis-premis pengimport dan pemborong produk sejuk beku khususnya di daerah ini.
Katanya, langkah ini bagi memastikan pematuhan oleh peniaga dibawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. – Info X