TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merekodkan kerugian kira-kira RM5 juta akibat Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) dan Sambungan Elektrik Tidak Sah (SETS) pada tahun ini.
Ketua Pegawai Transformasi (CTO) SESB, Ahmad Nassaruddin Kamaruzaman berkata, pihaknya kini sudah mengambil tindakan terhadap 1,340 individu dan premis bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2023 ini.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,191 kes melibatkan pengguna domestik, 148 komersil dan satu industri di seluruh Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pihak Suruhanjaya Tenaga pula masih dalam proses mengheret sebanyak 29 pengguna yang disyaki terlibat dengan kes terbabit ke mahkamah untuk dibicarakan.
“Semua pesalah terbabit telah disiasat mengikut Seksyen 37 dan 38 Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Curi Elektrik SESB, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil operasi hari ini telah berjaya mengesan enam premis komersial yang melakukan kesalahan KUPM dan SETS.

“Kita menganggarkan SESB mengalami kerugian sebanyak RM120,000 akibat perbuatan enam premis terbabit yang dilakukan sejak setahun lalu.
“Operasi ini sudah bermula sejak enam bulan lepas dan ia dirancang dengan teliti supaya penangkapan dan siasatan dapat dibuktikan lebih jelas,” katanya.
Ahmad berkata, modus operandi pesalah terbabit adalah melakukan usikan sebelum pemasangan meter bagi mengurangkan separuh penggunaan elektrik mereka.
“Kita akan mengeluarkan notis terhadap semua pesalah terbabit bagi mengambil tindakan tuntut ganti rugi berdasarkan jumlah penggunaan sebenar sejak setahun lalu.
“Sekiranya pesalah terbabit ingkar untuk membayar ganti rugi berkenaan, kita akan berikan surat saman dan kes boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, SESB bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan KUPM dan SETS ini.
“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada semua pelaku kesalahan ini berdasarkan anggaran yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
Sementara itu, katanya, SESB telah meluluskan dasar pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat melibatkan KUPM dan SETS di negeri ini.
“Setiap pemberi maklumat berkenaan akan diberikan imbuhan sehingga 1 hingga 2 peratus daripada jumlah tuntutan kerugian hasil yang diperolehi.
“Pemberi maklumat boleh menghubungi Jabatan Strike Force SESB untuk melaporkan kejadian KUPM dan SETS atau menghubungi 088-282782, 088-282779 atau 088-282778,” katanya.
Ahmad berkata, SESB juga turut menguatkuasakan penggunaan Kad Kuasa kepada semua kakitangannya bagi melindungi pengguna daripada individu yang tidak sah.
“Ia juga bagi memastikan hanya kakitangan yang sah sahaja boleh mencapai pepasangan meter SESB di premis pengguna,” katanya. – Info X