LABUAN: Seorang pengurus syarikat mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu dengan niat menipu Jabatan Imigresen Labuan bagi mendapatkan bayaran tuntutan sebanyak RM850 yang didakwa dilakukannya pada 19 Mac 2018.
Tertuduh, Benjamin Talah, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Wilayah Persekutuan Labuan, di sini, hari ini.
Beliau mengaku bersalah atas satu pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Benjamin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan utama mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 16 Februari depan untuk pendengaran fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.
Untuk sementara waktu, tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin tempatan, selain diperintah melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali.
Hukuman bagi pertuduhan alternatif itu memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan utama, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Berdasarkan ringkasan kes, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu dokumen untuk Membekal dan Memasang Carta Organisasi yang dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan melalui sistem ePerolehan.
Perbuatan tertuduh itu didakwa dilakukan pada 19 Mac 2018 dengan niat untuk menipu Jabatan Imigresen Labuan bagi mendapatkan pembayaran tuntutan bernilai RM850. – Info X