Search

Remaja perempuan parah terperosok bawah kenderaan

December 5, 2023

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang remaja perempuan parah selepas terperosok di bawah kenderaan apabila motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kampung Pomotodon, Tambunan di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa berusia 17 tahun yang parah di bahagian kepala kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (QEH I), Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Invander dipandu lelaki berusia 60 tahun dari Tambunan menuju ke Kota Kinabalu.

“Ketika itu keadaan cuaca hujan dan sebaik tiba di lokasi kejadian, selepas melalui selekoh motosikal ditungang mangsa dari arah bertentangan hilang kawalan masuk ke laluan kenderaan Isuzu Invander.

“Susulan itu, penunggang motosikal tercampak masuk ke bawah kenderaan Isuzu Invander sebelah kiri dan tersangkut lalu terseret hampir dua meter ke hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lokasi kemalangan mangsa terperosok di bawah kenderaan di Jalan Kampung Pomotodon, Tambunan.

Yampil berkata, akibat kemalangan itu mangsa parah di bahagian kepala.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan sebelum dirujuk ke QEH I untuk rawatan lanjut.

“Kes masih dalam siasatan mengikut 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X