KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas minuman keras selepas menyerbu sebuah pondok yang dijadikan stor simpanannya di Kampung Labak, Membakut, kelmarin.
Serbuan pada 7.30 malam menerusi Op Taring Gelora Khas Kontraban merampas 340 karton minuman keras bernilai hampir RM60,000.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, sepasukan pegawai dan anggota PPM yang menjalankan tugas menyerbu sebuah stor tidak bernombor di Kampung berkenaan.
“Ketika serbuan oleh PPM itu, tiada tangkapan dilakukan dan pemeriksaan di dalam pondok itu menemui minuman keras dipercayai tidak bercukai.
“Semua minuman keras itu dirampas dan dibawa ke Balai Polis Membakut untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk bersama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutama membabitkan penyeludupan di negeri ini. – Info X