LAHAD DATU: Timbunan sampah plastik mencemari kawasan tepi laut dekat bandar Lahad Datu, di sini, menjejaskan imej daerah ini sebagai destinasi persinggahan pengunjung.
Masalah itu yang dikongsikan pengguna media sosial, menimbulkan rungutan dan ketidakselesaan orang ramai, khususnya penduduk dan pengunjung di bandar ini.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan di Facebook Lahad Datu Info, timbunan plastik berwarna-warni kelihatan memenuhi satu sudut pantai yang menjadi lokasi orang ramai berehat.
Difahamkan gambar berkenaan dirakam di Jalan Pantai, bandar Lahad Datu, di sini sebelum mendapat perhatian netizen yang menyuarakan ketidakselesaan mereka terhadap keadaan itu.
Lokasinya di kawasan bandar menambahkan lagi imej negatif yang ditimbulkan pemandangan lautan sampah berkenaan, terutama jika dilihat pengunjung dan pelancong luar.

Berikutan itu, ramai netizen menyuarakan gesaan mereka supaya tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah itu, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pada masa yang sama, ada juga yang menyalahkan sikap segelintir masyarakat setempat yang mengambil mudah membuang sampah di laut sebagai punca berlakunya keadaan itu.
Penduduk, Arman Amir, 35, mengakui timbunan sampah yang mudah dilihat berikutan lokasinya dekat dengan jalan utama di kawasan bandar Lahad Datu menjejaskan imej bandar ini.
“Melihat keadaan sampah yang memenuhi tepi laut ini sudah cukup menggambarkan keadaan bandar yang kotor dan tidak terjaga.
“PBT perlu mengambil tindakan segera untuk membersihkannya dan selepas itu kita berharap orang ramai bersama-sama menjaga kebersihan bandar ini agar tidak lagi dilanda lautan sampah,” katanya.
Sementara itu, difahamkan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) akan memulakan usaha membersihkan pencemaran sampah di kawasan pesisir pantai bandar ini bermula pertengahan bulan ini.
Bandar Lahad Datu adalah antara kawasan pesat membangun di pantai timur Sabah berikutan pertumbuhan industri kelapa sawit.
Daerah ini juga terkenal sebagai destinasi pelancongan alam semulajadi khususnya di Lembah Danum dan Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin yang sering menarik kehadiran pencinta alam dan hidupan liar dari luar negara. – Info X